Friday, November 7, 2008

Graduan serta pelajar melayu kurang tajam mindanya....?

Pelajar Universiti dan Kolej sekarang ini sudah kurang tajam minda dan taringnya. Apakah fenomena ini benar atau sebaliknya...Perkara ini perlu dibuat satu penelitian dan dikupas isunya agar ia benar-benar dapat melahirkan pelajar Universiti dan Kolej yang dapat melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan negara yang bukan sahaja dapat memimpin negara agar menjadi Cemerlang, Gemilang dan Terbilang (bunyinya menyeramkan) bahkan dapat menjadikan individu tersebut mempunyai nilai serta norma hidup yang tinggi serta mempunyai minda "first class" dalam negara.

Apakah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menjadikan pelajar-pelajar di dalam negara itu sendiri "beku" dari segi bakat kepimpinan atau sebarang kebolehan akademik atau kita sememangnya menyanjung pelajar-pelajar lulusan luar negara khasnya yang belajar di Harvard, Oxford, Cambridge atau lain-lain Universiti kolonial itu....

Negara kita tidak kurang hebatnya...UM, UKM, UPM, USM, UTM, UiTM dan bermacam-macam M, itu tidak termasuk Kolej dan Universiti swasta lagi...setiap tahun melahirkan ribuan graduan-graduan yang berkekelusan dari berbagai-bagai bidang..samada kejuruteraan, perakaunan, perniagaan, sains dan berbagai-bagai lagi. Tetapi persoalannya adakah graduan-graduan itu terserlah bakat dan kewibawaanya...

Saya katakan bahawa mereka merupakan graduan-graduan yang dilahirkan tidak ubah seperti "Roti Sandwich". Senang dihasilkan dan tidak mempunyai kualiti sebenarnya...Contoh yang paling ketara senang saja...adakah mereka ini boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik berbanding graduan bangsa lain dan mereka ini sebenarnya menggangap diri mereka pandai dan mempunyai sikap memilih kerja. Mana pernah kita dengar graduan melayu yang berkelulusan tinggi ini sanggup bekerja dan berusaha berbudi dengan tanah (menjadi petani moden), bergelumang dengan peluh dan keringat untuk menjadi usahawan, berfikiran untuk memajukan diri bukan hanya dengan mengharapkan bekerja untuk menjadi pegawai besar atau duduk di pejabat yang berhawa dingin saja. Kalau ada pun bleh dikira dengan jari. Rata-rata yang tamat saja belajar di menara gading mengharapkan pekerjaan yang kononnya setimpal dengan kelulusan mereka..alasan mereka senang saja nak bayar balik duit PTPTN...atau seribu alasan yang akan diberikan.

Dan pernahkah kita dengar di negara ini, mereka dapat menjadi saintis atau penyelidik yang hebat yang dapat mencipta atau berjaya membuat penyelidikan besar yang dapat menyumbang kepada prasarana teknologi negara...mungkin ada tetapi yang dihasilkan yang saya rasa murid-murid sekolah pun boleh hasilkan..seperti robot bergerak yang boleh main bola tenis atau rekaan robot yang negara Jepun 20 tahun dulu telah hasilkan...Apa ni...

Kita sebenarnya tidak harus SS (Syok Sendiri) berbangga dengan kejayaan yang tidak seberapa..kalau ya pun apa penanda arasnya (benchmark) untuk kita nilai kejayaan tersebut.. atau senang kata untuk menjadi contohlah kepada dunia...

Yang penting bagi saya, semua pihak samada kerajaan, masyarakat, ibubapa bahkan graduan itu sendiri mempunyai peranan yang penting dalam memupuk dan membentuk graduan-graduan melayu agar menjadi graduan yang berkualiti. Tanggungjawab tersebut adalah di bahu kita bersama.

Kerajaaan pada hemat saya sentiasa memberi ruang dan tempat kepada graduan-graduan tersebut untuk meneroka dalam berbagai-bagai bidang lebih-lebih lagi keusahawanan dan pertanian. Kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit untuk perkara itu..mungkin persoalannya, pelaksanaannya terdapat berbagai kekangan.

Masyarakat pula khasnya masyarakat melayu sekiranya ada para graduan kita yang bersemangat tinggi untuk menjadi usahawan atau petani moden memandang rendah pada mereka kerana ungkapan seperti 'belajar tinggi-tinggi akhirnya tidak bekerja' malah menjadi petani atau sebagainya...inilah sikap masyarakat melayu kita yang kurang memberikan sokongan samada moral atau motivasi kepada mereka dan tidak kurang pula para ibu bapa yang sememangnya mahukan anak mereka menjendapat pekerjaan selepas tamat belajar.

Mungkin anda semua akan berkata 'cakap memanglah senang' atau 'jangan cakap saja pandai' tetapi sedarlah sebenarnya apa yang ingin saya utarakan ialah untuk membuka minda anda semua agar kita berkongsi pendapat agar bangsa melayu ini menjadi satu bangsa yang terbaik...

Tuesday, November 4, 2008

Cerita di Sekitar Persidangan UMNO Bahagian Kapar, Selangor

Baru-baru ini, UMNO Bahagian Kapar telah selamat bersidang yang mana pada waktu persidangan itu berbagai-bagai telatah malah gelagat di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Yang paling menariknya ialah persidangan kali ini melibatkan pemilihan berbagai-bagai jawatan samada AJK, G7, Pemeriksa Kira-kira dan Perwakilan ke UMNO Mesyuarat UMNO tertinggi.

Apabila timbul soal pemilihan maka berbagailah telatah serta gelagat bagi mereka yang bertanding. Yang pakai songkok panjang sejengkal pun ada, yang pakai baju melayu ala nak bernikah satu lagi pun ada dan tak kurang pula yang lengkap baju melayu siap bercapal lagi seolah-olah pejuang melayu sejati lagaknya pun ada. Bagi yang wanita dan puteri yang terpilih ke persidangan tersebut dari peringkat cawangan lagaknya pula tidak kurang hebatnya. Yang pakai emas sampai ke lengan, yang pakai rantai leher sebesar lipan (entah betul tulin entah tidak hanya Allah yang tahu), yang pakai tudung jenis yang tutup rambut sedikit pun ada hingga nampak lembah di antara dua dada dan bermacam-macam lagilah gelagat yang dapat dilihat.

Bukan hendak mengutuk atau mencerca peribadi seseorang tetapi sekadar renungan dan untuk difikir-fikirkan oleh semua yang membaca blog saya ini kerana ke semua yang hadir pada persidangan tersebut bukan calang-calang orang iaitu merupakan pemimpin melayu yang diamanahkan oleh ahli-ahlinya di peringkat cawangan untuk membawa suara mereka ke Bahagian dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Bahagian Kapar ini terbahagi kepada 4 Zon iaitu Zon Meru, Sementa, Selat Klang dan yang terbaru ialah Zon Sungai Pinang. Maka UMNO Bahagian Kapar ini sudah tentunya mempunyai bilangan ahlinya yang ramai. Sudah tentu banyak usul yang akan dibawa samada yang diterima tanpa bahas atau yang perlu dibahaskan dan bermacam-macam lagi. Maka adalah di kalangan mereka yang membaca usul tersebut seumpama 'gegak gempita" bunyinya seolah-olah dia seorang yang boleh berbahas sebegitu rupa orang lain tak tahu...yang paling hairannya pula ada yang pernah bertukar parti pembangkang masuk semula UMNO bawa usul tergempar lagi....Wah lagaknya seumpama pejuang melayu sejati...Bagi saya orang yang bertukar-tukar parti ni senang saja..orang yang tidak tetap pendirian... dan orang yang tidak tetap pendirian begini, bolehkah jadi pemimpin.....?

Bagi saya usul yang dibawa terlalu "grand" cerita itu, cerita ini, ISA perlu dikekalkanlah maka ditandatanganilah beramai-ramai atas satu banner (entah siapa yang tandatangan pun tidaklah pula diketahui), usul Kontrak Sosial, Zakat dan bermacam-macam lagi. Memang benar ini merupakan usul yang penting tetapi usul yang paling penting sekali, saya ingatkan sekali lagi yang paling penting ialah bagaimana hendak menguatkan parti dan ahli-ahlinya serta persiapan hendak merampas semula Negeri Selangor dari parti lawan. Apa yang saya lihat yang bercakap banyak itu ramai tidak ubah seperti orang yang tidak pernah dapat "microphone" maka banyaklah cerita merapu yang diutarakan lagaknya seperti kera mendapat bunga.

Kalaulah sikap ahli perwakilan yang hadir itu cuma hadir pada permulaannya sahaja dan tidak mampu menunggu sehingga tamat persidangan atau lepas makan balik, dari situ kita telah melihat kehancuran sikap ahli-ahli perwakilan macamana nak tawan semula Negeri Selangor!!! Amanah yang diberikan oleh ahli-ahli cawangan kepada mereka disia-siakan.

Pemilihannya mula menyaksikan asyik-asyik "muka" itu saja, tidak adakah "muka-muka" lain yang berkaliber layak untuk dicalonkan menjadi AJK, G7 atau sebagainya...Sudahlah begitu "muka-muka" tersebut sudah diketahui samada boleh atau tidak untuk buat kerja...bercakap pandai tetapi kerja....???? sewaktu hendak bertanding bukan main lagi rayunya dan lagaknya, lebih-lebih lagi kalau "iso ngomong jawo, usah risolah wak, aku pasti pilih wak, kitakan sekampong". Yang paling hairannya sewaktu saya keluar dari lif pun mereka dah tunggu hendak memberi kepada saya kad sebesar business kad yang mempamerkan nombor serta gambar mereka selain dari senarai "cai" mereka dan dalam hati saya berkata "cukup hebat...."

Inilah masalah UMNO diperingkat akar umbi yang harus diperbaiki dan dilihat oleh ketua Bahagian atau pucuk pimpinan. Pada saya setiap nama yang dicalonkan harus diteliti dahulu kewibawaannya samada di peringkat cawangan atau bahagian. Dan sekiranya calon itu dikira layak barulah boleh bertanding untuk dipilih oleh para perwakilan.

Hendak menjadi pemimpin itu bukanlah mudah, dan untuk menjadi pemimpin kita harus menjadi pemimpin kepada diri kita sendiri, keluarga dan barulah masyarakat. Pemimpin itu haruslah berilmu samada agama ataupun dunia. Seseorang pemimpin itu harus tahu untuk mentadbir urus cawangannya dan harus mempunyai matlamat serta misinya yang tertentu dan yang paling penting sekali harus tahu bagaimana hendak menjana pendapatan cawangan untuk terus bergerak tanpa hanya asyik mengharapkan peruntukan dari bahagian sahaja.

Di peringkat cawangan pula, kebanyakan ketua-ketua cawangan tidak sanggup menyerahkan jawatan kepada mereka yang berkemampuan sebalik mempunyai prasangka yang buruk terhadap mereka yang berkebolehan dan kalau boleh dicantas, dicantas agar tidak menonjol atau senang cerita lawan "taukeh". Dan janganlah hairan kalau ada sesetengah cawangan, yang dari Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri terdiri dari kalangan ahli keluarga mereka saja, ini sudah bukan pertubuhan politik tetapi pertubuhan keluarga!!!

Selain dari itu ahli-ahli di peringkat cawangan tidak didedahkan dengan berbagai-bagai prasarana keahlian seperti sessi penerangan, program-program kenegaraan dan sebagainya. Syaf kepimpinan kanan cawangan juga gagal dalam menyerapkan nilai serta kemampuan ahli dalam menyuarakan pendapat mereka untuk dibawa ke peringkat atasan.

Saya tabik kepada parti pembangkang yang bekerja demi parti dan bukan bekerja untuk mengharapkan balasan atau wang ringgit atau istilah lain "masyuk". Mereka ini bekerja bersungguh-sungguh dan mempunyai semangat kerja berpasukan. Saya berani berkata demikian kerana saya melihat cara mereka bekerja. Kepada ahli-ahli UMNO contohilah semangat berpasukan seperti mereka.

Tulisan saya ini bukanlah untuk memburuk-burukkan imej UMNO Bahagian Kapar tetapi sebaliknya hanya untuk renungan dan difikirkan oleh semua pihak kerana saya juga merupakan "mantan" Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selama 14 tahun dan kini menjadi Setiausaha Cawangan, Alhamdulillah ini merupakan amanah yang diberikan oleh ahli-ahli cawangan semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayahNya kepada saya sewaktu memimpin ini.

Semenjak menjadi pemimpin di peringkat akar umbi ini berbagai-bagai pengalaman yang saya lalui dan harapan saya agar pengalaman itu dapat menjadikan saya seorang pemimpin yang lebih berwibawa di masa yang akan datang.

Kepada calon-calon yang bertanding dan menang saya ucapkan tahniah dan diharapkan "muka-muka" anda saya sentiasa nampak dalam menjalankan tanggung-jawab samada sebagai AJK ke, G7 atau sebagainya.

Kepada sahabat saya Tuan Haji Faizal Haji Abdullah tahniah kerana anda telah menjawat jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Saya tahu anda berkebolehan menjadi pemimpin.

Kepada bekas ADUN Selat Klang, YB Norliza janganlah pula lupa Wanita di Zon Selat Klang ni..dahulunya rajin melawat Wanita sekitar zon Selat Klang sekarang ni dah kurang pula ya....

Saudara Rosli Abdul Hamid, Ketua Pergerakan Pemuda (merupakan sahabat seangkatan saya) juga tahniah kerana anda telah menerajui Pemuda sekarang bermakna tanggung-jawab serta amanah yang anda pikul amat berat jadi jangan sesekali anda lupakan Pemuda di Zon Selat Klang.

Saudari Hanimasra saya jarang sesekali melihat "anda" serta "wajah" anda di sekitar Zon Selat Klang...kenapa ya..adakah disebabkan Puteri di Zon Selat Klang tidak sehebat Zon anda...???

Harapan saya juga kepada Dato' Ketua UMNO Bahagian, janganlah lupa melawat serta meninjau cawangan-cawangan serta kawasan di Zon Selat Klang ini. Terus terang saya katakan saya "orak iso ngomong jawo" sebab saya berdarah bugis tetapi kitakan serumpun....

Sedarlah Bangsa Ku

Sebenarnya mengekalkan kemerdekaan itu amatlah susah dari mendapatkannya. Kita bersyukur kerana untuk mendapatkan kemerdekaan adalah hanya di meja perundingan sahaja. Walau pun demikian kita jangan lupa akan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan terbilang sebelum itu yang rata-rata menentang penjajahan seperti Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tok Janggut, Mat Salleh dan banyak lagi.

Apa yang saya hendak perkatakan di sini ialah adakah pemikiran kita ini telah merdeka sepenuhnya....? Kita telah dijajah selama 420 tahun dan merupalkan satu masa yang agak lama. Kita lupa bahawa sebenarnya untuk menjadi satu bangsa Melayu yang kuat dan disegani oleh bangsa lain kita harus mempunyai ilmu. Ilmu yang bagaimana...? Sudah tentunya ilmu agama dan ilmu dunia kerana bangsa Melayu itu beragama Islam dan Islam itu sendiri tidak pernah memisahkan antara agama dan dunia.

Rata-rata gejala sosial yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu ialah disebabkan mereka tidak mempunyai ilmu agama. Sebagai contohnya, di awal usia mereka, mereka tidak diperkenalkan dengan ilmu agama yang merangkumi berbagai-bagai pendekatan samada pendekatan mengenal Maha Pencipta (Allah), soal-soal ibadat sebagai contohnya solat, puasa, pergaulan, kemasyrakatan dan sebagainya.

Lihat saja contoh bagaimana anak-anak muda Melayu bersosial hingga lahirnya anak-anak luar nikah malah ada yang dibuang di merata-rata tempat, tutur bahasa anak-anak Melayu yang sentiasa berbahasa slanga (Lu, Gua, Lu Apahal, Apa Kes, dan macam-macam lagi) semuanya menandakan ada kepincangan terhadap anak-anak muda Melayu ini kerana kurangnya ilmu serta didikan agama. Ibubapa mereka pula di atas tuntutan kehidupan bekerja siang dan malam untuk mencari wang untuk menjana pendapatan keluarga dan hal pendidikan terutamanya agama diperlekehkan. Keaadan ini jelas kerana jika wang yang kita cari maka wanglah yang akan kita dapat tetapi kasih sayang dan keharmonian dalam keluarga akan terabai maka wujudlah sebuah kelauarga yang bermasalah.

Pada pendapat saya ilmu agama itu amat penting kerana seawal-awal mengenal agama ialah mengenal Maha Pencipta (Allah) itu sendiri. Selain dari itu soal ibadat juga amat penting lebih-lebih lagi solat kerana solat itu tiang agama umat Islam. Sekiranya azan berkumandang di masjid atau surau yang berdekatan tetapi kita masih lagi tidak mengendahkannya kerana masih lagi di padang bola, di kedai mamak minum teh atau menonton "English Premier League" atau berbagai-bagai lagi kesibukan kita hingga lupakan solat sudah tentunya kita ini akan hanyut lupakan Allah dan akhirnya kita akan jauh dengan Allah dan sudah tentunya yang hampir kepada kita ialah syaitan yang dilaknat kerana makhluk ini akan sentiasa membisikkan kepada kita untuk melakukan kerosakan dan dosa dan Allah telah mengingatkan bahawa "Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh kamu yang nyata".

Nah, justeru itu tidak hairanlah sekiranya berbagai-bagai kejadian yang tidak baik itu seperti keruntuhan moral dan akhlak, keruntuhan institusi keluaarga, penyalahgunaan dadah, malas bekerja, melepak tidak tentu arah, biadap dengan ibu bapa dan orang tua, tiada nilai diri dan norma hidup sebagai manusia, rogol, rompak dan samun, sumbang mahram di kalangan muda mudi Melayu atau tidak kurang juga "orang tua Melayu" itu berlaku di sebabkan angkara syaitan dan jauhnya orang Melayu itu dari Rahmat Allah.

Selain dari itu orang Melayu juga tidak minat untuk menguasai ilmu dunia. Sejarah telah membuktikan bahawa tokoh-tokoh ilmuan Islam itu dapat menguasai berbagai-bagai ilmu keduniaan seperti perubatan, biologi, pelayaran, matematik, arkeologi, geografi dan berbagai-bagai lagi. Kejayaan sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada ilmunya. Orang-orang Melayu tidak berminat akan perkara ini kerana sifat mereka yang malas dari peringkat di bangku sekolah lagi. Cuba lihat bangsa lain lebih-lebih lagi bangsa India yang mana dulunya datuk nenek mereka tinggal di ladang-ladang getah dan kelapa sawit akan tetapi apabila tiba masa generasi baru mereka, timbulnya generasi yang berilmu seperti doktor, peguam, jurutera, arkitek, pensyarah dan golongan profesional yang menguasai berbagai-bagai tempat di dalam negara,. Bangsa Cina pula merupakan bangsa yang sama juga menguasai bidang ekonomi, akauntan, pakar ekonomi dan perbankan dan berbagai-bagai bidang profesional yang lain yang memenuhi segenap ruang dan tempat di dalam negara.

Orang Melayu pula menjadi bangsa yang terpinggir dan masih lagi di takuk lama...banyak bercakap tetapi kurang bekerja inilah sebenarnya bangsa Melayu. Kalau ada yang jadi pemimpin lebih banyak bercakap dan lebih mementingkan diri sendiri selain dari hendak mengekalkan kedudukan mereka kononnya.

Ayuh anak-anak muda Melayu... bangun dan sedarlah bahawa kita sebenarnya telah jauh tertinggal dalam arus kemajuan di dalam negara dan dunia. Jangan sampai kita menjadi satu bangsa yang mana kita akan merempat dalam negara kita sendiri....Sedarlah dan bangunlah dari tidur dan mimpi kalian.

Negara ini adalah milik kaum Melayu yang mana kaum lain juga sama-sama hidup dalam suausana yang harmoni, jangan pula mereka maju dan kita pula mundur. Hendaklah kita menjadi satu bangsa yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka agar mereka menghormati akan ketuanan kita. Sedar dan sedarlah wahai bangsaku.

Thursday, July 3, 2008

C.I.N.T.A

Cinta membawa berbagai-bagai pengertian. Apa yg hendak saya fokuskan di sini ialah cinta terhadap seseorang khasnya bagi seseorang lelaki dan perempuan. Cinta jenis ini yg hebat dan jarang-jarang berlaku ialah seperti Romeo dan Juliet, Uda dan Dara, Laila dan Majnun.

Namun persolannya, sejauh manakah cintanya kita kpd pasangan kita? Tidak kiralah samada cinta kita kpd isteri, suami (bagi yg telah berkahwin) dan cinta kpd kekasih (bagi yg belum berkahwin).

Bagi saya pengertian cinta itu amat luas dan ianya sesuatu yg subjektif. Ianya lahir dari hati dan juga lubuk hati kita yg paling dalam diterjemahkan dgn perbuatan dan juga tutur kata yg membawa isyarat kpd pasangan kita itu yg kita cintakan beliau. Dari cinta itu akan lahir satu perasaan kasih sayang dan perasaan kasih sayang itulah merupakan satu anugerah dari Allah kepada makhluknya seperti kita dan melalui kasih sayang itulah maka zuriat manusia itu sendiri akan berkembang.

Ramai orang boleh mengucapkan kata cinta tetapi adakah ucapan itu jujur dan ikhlas? Sebenarnya cinta itu juga akan disusul dengan kasih dan sayang sekiranya kita benar-benar jujur dan ikhlas terhadapnya dan sudah tentu kejujuran dan keikhlasan itu akan disusul pula dengan halangan-halangan untuk menguji sejauh mana cintanya kpd pasangannya.

Satu persoalan lagi, cinta yg manakah lebih kukuh samada cinta dari seorang wanita atau lelaki. Dari pengalaman serta kajian saya melalui pembacaan, penelitian hidup dan pergaulan, sebenarnya wanita lebih setia cinta mereka dari lelaki dan harap lelaki jgn pula marah (kenyataan ini merupakan satu pandangan saja.

Sebenarnya perasaan wanita itu lebih halus dan sukar dimengertikan kerana mereka itu sendiri bersifat abstrak. Cinta wanita itu lebih mendalam dan mencakupi keseluruhan jiwa raga mereka akan tetapi cinta seorang lelaki merupakan satu cinta yg bersifat verbal iaitu hanya pada kata-kata akan tetapi apabila sampai satu ketika ianya akan sukar diterjemahkan melalui perbuatan dan akibatnya perasaan jujur dan ikhlas tadi tidak akan wujud melainkan timbulnya perasaan hawa nafsu.

Percayalah sekiranya kita benar-benar cinta akan pasangan kita serta jujur dan ikhlas terhadapnya maka percayalah akan lahirlah perasaan kasih sayang yg mana perasaan itu merupakan sesuatu yg amat bermakna kpd kita dan pasangan kita dan dengan sendirinya ia akan menjadi satu memori yg sukar dipadamkan difikiran.

Satu lagi persoalan, bolehkah seseorang itu hidup tanpa cinta? Bagi saya jawapannya boleh tetapi hidup mereka sepi dan suram dan tiada keindahannya. Mungkin mereka akan berkata, ada apa dengan cinta dan apa cinta boleh buat terhadap kita...ungkapan ini mungkin agak keras bunyinya tetapi saya buka kepada anda untuk mengutarakannya dan oleh itu komen serta pandangan anda dialu-alukan.

Oleh itu cuba hayati pengertian ini...

C - Cinta itu lahir dari hati

I - Indah dan penuh pengertian

N - Namun, adakah ianya sejati

T - Tepuk dada tanya selera

A - Agar ianya tidak disalah ertikan

Tuesday, July 1, 2008

Gelagat Ahli Parlimen

Kadang-kadang kita hairan dgn telatah dan juga tindak tanduk ahli-ahli parlimen yang bersidang di parlimen. Apa tidaknya, berbagai-bagai isu dan hal yg dibangkitkan tetapi isu dan hal tersebut sebenarnya hanyalah hal yg remeh temeh dan kebudak-budakan. Persolannya, adakah rakyat Malaysia yg keluar mengundi itu salah memilih calon ini kerana rakyat Malaysia sebenarnya mengundi untuk memilih calon yg boleh membawa suara mereka untuk menyelesaikan masalah mereka bukan untuk membawa hal yg remeh temeh. Banyak perkara yg boleh dibawa untuk diusulkan di Parlimen seperti isu kenaikan harga minyak, barangan makanan, tol, pendatang asing dan sebagainya tetapi apa yg kita lihat....sungguh mengecewakan hinggakan kita terfikir bahawa cara ahli Parlimen itu sebenarnya kebudak-budakan.
Di sini saya ingin berkongsi kepada rakan-rakan blogger yg lain utk kita bertukar-tukar pendapat mengenai perkara ini. Oleh itu saya mengalu-alukan pendapat dan pandangan anda semua.

Saturday, June 28, 2008

My Heart

Lagu yang mengembalikan kenangan dan saat indah aku bersama seseorang.

Hello World

Salam perkenalan kepada semua Blogger.